Thursday, July 17, 2014

Kami Bersamamu Palestine!


"Boom! Boom! Boom!"
Bising. Kelihatan anak-anak kecil berlari-lari. Suara esak tangis makin lama makin jelas kedengaran. Semakin lama semakin kuat. Kali ini berselang-seli dengan teriakan, jeritan dan dentuman kuat. Tiba-tiba, diam seribu bahasa. Tiada suara, tiada apa-apa.

"Oh, mimpi rupanya!"
Pelik.

Mimpi pelik tadi membuatkan aku tiada selera untuk bersahur. Namun, masakan umi yang menggiurkan itu tak pernah gagal mencuri hati aku. Sambal sotong kasih sayang, telur dadar sulaman cinta dan air the O sehangat rindu terhidang di meja. Selalunya akulah 'eating machine' di meja makan, tapi tidak hari ini. Percikan darah dari sekujur tubuh halus dan buraian jasad anak-anak kecil dalam mimpi tadi sudah cukup menyekat selera makan dinosaur aku.

Pagi itu aku tidak terus tidur sebelum Subuh. Kalau tak, terlajak sampai ke tengahari, alamatnya bergegar rumah dengan bedilan peluru berpandu umi. Haha.

 "Anak dara bangun tengahari, nanti orang datang meminang, terus tak jadi."
Senjata paling hebat umi abad ini. Kagum.

Aku buka Facebook. Banyak newsfeed tentang Israel dan Gaza. Tak kurang ikut sama hashtag- #Pray4Gaza #GazaUnderAttack dan sebagainya. Timbunan status hari itu sama hebat dengan bedilan roket peluru Israel laknatullah kepada Gaza. Allahu, berat ujian Ramadan kali ini untuk saudara-saudara seakidah kita.

Maafkan kami Palestine kerana tiada di sampingmu ketika kau perlu. Maafkan kami Palestine kerana tak mampu menyapu airmatamu saat kau tiada lagi kudrat dan daya. Maafkan kami Palestine andai kami pernah mengkhianatimu bila mana kami butakan mata dan tulikan telinga dengan kisah dukamu. Maafkan kami kerana gagal mengikut jejak langkah juangmu untuk menyelamatkan tanah kita. Tanah umat Islam.


Jangan takut Palestine! Kau ada dalam bait-bait doa kami. Tembakan peluru Israel tak sehebat dan sekuat tembakan doa-doa kudus kami. Berjuanglah sampai kau capai syahidmu. Kami bersamamu Palestine. Allah juga.



No comments:

Post a Comment